Aku ingin menulis tentang sesuatu. Tentang mengapa aku jadi begini. Bila hati mula merentan, emosi. Aku sendiri tidak suka bila diri aku dibelenggu rasa begini. Kerana aku rasa sangat terseksa.
Setiap kali aku ditimpa masalah, aku akan lebih suka menulis daripada meluahkan dengan kata-kata. Bila menulis, aku dapat susun segala kekalutan aku, supaya ianya lebih mudah difahami. Semua orang tau aku cepat susah hati, risau, panas baran, aku mempunyai masalah inferioriti kompleks dan sekarang aku sudah mula trauma. Apa yang berlaku satu masa dulu mula menghantui hidup aku semula.
Entah bila segalanya bermula, aku sendiri tak pasti. Tapi seingat aku, setiap masa bersamanya aku merasa hidup ini cukup indah. Pernah satu masa dia memberitahu yang dia semakin ketagih untuk bersama aku. Apa yang aku rasa ketika itu? hmm...kekosongan aku mula terisi, telefon bimbit aku yang jarang-jarang berbunyi sudah kerap berdering, waktu-waktu yang banyak aku habiskan sendiri , mula ditemani. Dulu aku tak banyak tau tentang dunia luar, aku tak banyak kenal tentang tempat-tempat. Iyalah, aku ni takut memandu, jadi tak banyak tempat aku boleh pergi, kecuali jika ada yang sudi ingin membawa. Dia yang banyak bawa aku berjalan mengenal kuala lumpur. Aku gembira... sangat gembira. Mungkin kerana itu, aku mula rasa sesuatu. Aku mula berhenti mencari. Sebab apa yang aku nampak, cuma dia...
Sehingga satu masa dia ada bercerita tentang seseorang. Menurutnya, teman-teman rapatnya mau lihat mereka bersama. Pada ketika itu, aku tidak merasa apa-apa. Kalau benar jodohnya dengan dia, aku terima. Sebagaimana aku akan terima dia dengan sesiapa pun sebelum tu. Iya kami ada perjanjian, kami akan berhenti bersama bila salah seorang dari kami bertemu seseorang yang lebih istimewa. Namun, ianya tidak berlaku ketika itu. Dia masih bersamaku. Malah kami lebih rapat selepas itu. Walaupun aku tau, yang dia masih belum mampu buka hatinya untuk aku. Jodoh, rezeki dan ajal kan ketentuan Allah. Tak lama tu, hal mereka semakin hangat diperkata. Aku masih biasa. Cuba pekak telinga. Namun kadang-kadang ada juga bertanya. Sekadar untuk kepastian. Sebab aku tak pernah nampak. Sampai hari ni aku tak pernah nampak sekalipun mereka bersama. Orang-orang yang banyak bercerita. Kerap kata mereka. Jadi apa yang aku rasa? hmm...cemburu mula membenih. Dan sejak itu, baru aku sedar, walaupun jasad kami sentiasa dekat, tapi hati kami seolah-olah semakin jauh. Kami sudah jarang bersama. Telefon bimbit aku sudah jarang berbunyi. Kami mula berkrisis. Dan aku mula merasa yang aku akan kehilangannya.
Cuma satu perkara dalam hidup aku,yang aku mahu dia tahu, aku tak pernah memaksa. Aku tak pernah berniat untuk mengongkong. Aku bukan seorang yang meminta-minta. Aku tak pernah mencuba untuk jadi Tuhan. Sebab pada aku, segala kebahagiaan yang aku kecapi mesti beralaskan keikhlasan. Kerana itulah bila dia hadir untuk aku, itu sudah cukup membuatkan aku rasa gembira sepanjang waktu. Aku percaya, cinta jika benar kita mencintai, cinta itu kita mesti biarkan dia bebas mencari langitnya sendiri. Walaupun hakikatnya, aku takut dia pergi. Itu yang pernah aku katakan padanya. Itu yang aku takutkan. Tapi aku mesti terima andainya berlaku.
Lagipun siapalah aku, walau selepas terlalu banyak kenangan indah yang kami kongsi bersama, walau sekuat manapun sayang aku padanya, aku takkan mampu halang dia dari dimiliki orang lain. Kerana kami hanya manusia. Dan aku tidak sempurna. Baru-baru ni kami putuskan untuk sekadar teman. Itu yang dia mahu. Dan aku terima. Sebab semuanya berlaku kerana sikap aku sendiri yang masih lagi dihurungi trauma kisah ku dulu, cemburu yang keterlaluan dan terlalu mendengar kata-kata orang. Kalau boleh aku ulang waktu, aku tak mahu semua tu berlaku. Sebab itu bukan aku. Aku tak mahu hilang waktu-waktu indah itu. Tapi ianya sudahpun terjadi. Dan aku dengan berat hati, hanya mampu melihat dia melangkah pergi. Kali ni, aku perlu redha kalaupun aku terpaksa tengok dia bersama perempuan lain. Asalkan dia gembira dengan apa yang dia lakukan. Aku juga akan turut rasa gembiranya. Sebab walau dengan siapapun kami berdua bersama nanti, dia akan selalu jadi yang teristimewa dalam hati aku. Untuk selama-lamanya....
Huh! lega aku dah luahkan semua.